KPDN Pulau Pinang serbu gudang, rampas 5,720kg minyak masak subsidi dan tangkap lelaki tempatan berusia 40-an dalam Ops Tiris 3.0
BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an ditahan kerana disyaki menyeleweng minyak masak bersubsidi di sebuah gudang terpencil di Nibong Tebal.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang melakukan serbuan di kawasan perindustrian Sungai Jawi semalam melalui Ops Tiris 3.0.
Pengarah KPDN negeri S. Jegan berkata operasi bermula 8.30 malam itu hasil risikan selama sebulan berikutan aduan orang awam.
“Pemeriksaan menemukan 5,720 kilogram minyak masak peket 1kg, 25 botol kosong minyak masak 5kg, dan plastik kosong pelbagai jenama,” katanya.
Dua unit tong biru berkapasiti 150 liter turut ditemui, dipercayai untuk menyimpan minyak yang dipindahkan daripada bungkusan asal.
Jegan mendedahkan modus operandi suspek ialah memotong minyak masak dalam bungkusan polibeg 1kg dan memindahkannya ke tong biru.
Kegiatan itu dipercayai dilakukan untuk mengubah bentuk asal barang kawalan sebelum dijual semula secara tidak sah.
Siasatan mendapati kegiatan dilakukan bersendirian oleh lelaki yang ditahan ketika sedang memindahkan minyak.
Peralatan termasuk pam, sembilan gunting dan dokumen berkaitan turut disita dengan nilai rampasan dianggarkan RM16,892.
“Gudang itu beroperasi sejak tiga bulan lalu tanpa lesen untuk memiliki barang kawalan berjadual,” katanya.
KPDN masih menyiasat sumber bekalan minyak masak yang diperoleh suspek, tidak menolak kemungkinan ia dibeli dari sekitar Pulau Pinang dan Perak.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan. – Bernama






