the sun malaysia ipaper logo 150x150
Saturday, June 27, 2026
31.2 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Ketibaan pelancong asing separuh tahun pertama 2020 catat pertumbuhan negatif 68.2 peratus

PUTRAJAYA: Ketibaan seramai 4,252,997 pelancong antarabangsa telah direkodkan bagi separuh tahun pertama tahun 2020 iaitu penurunan sebanyak 68.2 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya. Sebagai perbandingan, Malaysia telah menarik seramai 13.3 juta pelancong antarabangsa dari bulan Januari hingga Jun 2019.

Perbelanjaan pelancong bagi separuh tahun pertama 2020 merekodkan RM12.5 billion, iaitu penurunan sebanyak 69.8 peratus berbanding RM41.6 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun 2019. Perbelanjaan per kapita turut mencatat penurunan sebanyak 5.3 peratus dari RM3,121.60 pada tahun 2019 ke RM2,956.10 pada tahun ini.

Sepuluh pasaran utama ke Malaysia adalah Singapura (1,541,820), Indonesia (702,082), China (401,285), Thailand (348,133), India (153,873), Brunei (135,593), Korea Selatan (118,594), Jepun (73,201), Australia (72,103) dan Filipina (64,311).

Sektor pelancongan negara telah merekodkan perkembangan negatif bagi setiap pasaran mengikut rantau iaitu pasaran jarak dekat atau ASEAN (-69.1 peratus), pasaran jarak sederhana (-69.0 peratus) dan pasaran jarak jauh (-58.8 peratus).

Ketibaan pelawat harian (excursionists) di Malaysia pula mencatatkan sejumlah 1,712,140 pelancong dari bulan Januari hingga Jun 2020, iaitu penurunan sebanyak 64.2 peratus berbanding dengan 4,782,587 orang yang telah melawat Malaysia bagi tempoh yang sama pada tahun lepas.

Penurunan yang ketara bagi jumlah ketibaan pelancong dan pelawat harian ini adalah disebabkan oleh faktor penutupan pintu-pintu sempadan Malaysia berikutan penularan pandemik Covid-19. Selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan virus Covid-19 sebagai satu pandemik pada 11 Mac, kerajaan Malaysia telah menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang melarang kemasukan pelancong antarabangsa sejak 18 Mac.

Kesan pandemik kepada sektor pelancongan turut dilihat di luar sempadan Malaysia, di mana negara-negara Asean lain juga merekodkan penurunan mendadak dari segi pencapaian pelancongan. Menurut sumber dari Pacific Asia Travel Association (PATA), negara-negara jiran termasuk Thailand, Singapura, Vietnam dan Indonesia, juga mencatatkan pertumbuhan negatif disebabkan larangan perjalanan antarabangsa yang dikuatkuasakan oleh kerajaan dalam usaha membendung penularan pandemik di negara masing-masing.

Sila layari Statistik Tourism Malaysia untuk mendapatkan info lanjut berkenaan statistik pelancongan negara.

Untuk maklumat lanjut mengenai siaran media mahupun maklumat mengenai industri pelancongan Malaysia, boleh melayari laman sesawang Pusat Media Tourism Malaysia di http://www.tourism.gov.my/ -Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings