Thursday, November 13, 2025
22.8 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Gunung Santubong bukti tamadun awal Sarawak berkembang sejak abad ke-7

Penemuan arkeologi di Santubong bukti pusat perdagangan antarabangsa dan kemahiran metalurgi tinggi Sarawak sejak abad ketujuh Masihi

KUCHING: Gunung Santubong merupakan simbol tamadun awal di Sarawak yang berkembang jauh lebih awal daripada yang disangka.

Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Nancy Shukri berkata penemuan arkeologi di Sungai Jaong, Bongkissam dan Bukit Maras membuktikan kewujudan tamadun maju di kawasan tersebut.

“Gunung Santubong bukan sekadar mercu tanda geografi, sebaliknya menyimpan kisah pusat perdagangan antarabangsa, kemahiran metalurgi tinggi serta jaringan maritim yang luas sejak abad ketujuh Masihi,” katanya.

Beliau membayangkan ketika kawasan lain baru mengenal api, di Santubong sudah ada kapal dagang dari China, Siam dan Vietnam berlabuh untuk berdagang.

“Nenek moyang kita di sini telah pandai membuat besi, tembikar dan berniaga dengan dunia luar,” ujarnya semasa berucap pada majlis perasmian Seminar Warisan Santubong: Eksplorasi Ilmu dan Jejak Tamadun di CENTEXS Santubong.

Nancy yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata kawasan itu berpotensi untuk diiktiraf sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO.

Beliau menekankan nilai sejarah dan arkeologi Santubong yang unik melalui empat strategi utama iaitu pendidikan komuniti tempatan, penglibatan generasi muda, kerjasama pelbagai pihak dan pembangunan lestari.

“Apabila warisan dijaga dengan baik, faedahnya luas,” katanya sambil menjelaskan potensi pelancongan warisan.

Faedah tersebut termasuk membuka peluang ekonomi kepada penduduk tempatan daripada pemandu pelancong, inap desa, produk kraf tangan hinggalah perniagaan komuniti.

Lebih penting, ia memupuk rasa bangga terhadap identiti dan akar budaya serta memberikan nilai pendidikan kepada generasi akan datang.

Seminar yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Muzium Sarawak menjadi platform untuk berkongsi pengetahuan dan hasil penyelidikan.

Ia juga berfungsi sebagai strategi untuk pemuliharaan warisan serta mempromosikan tapak warisan Santubong kepada masyarakat umum.

Peserta seminar dibawa melawat ke Taman Arkeologi Santubong untuk melihat sendiri tapak dan galeri arkeologi.

Lawatan tersebut meliputi Sungai Jaong, Bongkissam-Bukit Maras, Pusat Wallace dan Batu Buaya yang terdapat di taman berkenaan. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories