PM Anwar umum PM Hun Manet dan Anutin Charnvirakul beri maklum balas positif, komited patuhi Perjanjian Damai Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul memberikan maklum balas positif serta menegaskan komitmen untuk mencari penyelesaian damai.
Kedua-dua pemimpin berikrar akan mematuhi perkara yang dipersetujui dalam Perjanjian Damai Kuala Lumpur.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau telah berbincang dengan kedua-dua rakan sejawatnya menerusi telefon mengenai perkembangan usaha damai susulan insiden terkini di sempadan.
“Saya menegaskan pendirian Malaysia untuk melihat persahabatan dan gencatan senjata antara kedua-dua negara diperkukuh selaras persefahaman yang termeterai di Kuala Lumpur hujung bulan lepas,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Anwar turut menyatakan kesediaan Malaysia untuk terus memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam merintis jalan damai.
Beliau berkata kedua-dua perdana menteri menyampaikan penghargaan atas pendirian Malaysia serta peranan yang digalas sebagai Pengerusi ASEAN.
Mereka juga mengiktiraf Malaysia sebagai sahabat dan jiran serantau yang mendambakan keamanan.
“Semoga kedua-dua negara terus menunjukkan kesungguhan dan keberanian untuk mengembalikan kestabilan di perbatasan demi keamanan yang berkekalan di rantau ini,” tambah Anwar.
Hun Manet dan Anutin menandatangani perjanjian damai di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada 26 Oktober lepas.
Majlis itu disaksikan oleh Anwar dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Perjanjian damai tersebut menyaksikan Thailand dan Kemboja bersetuju menamatkan pertelingkahan dan membina hubungan kejiranan yang baik. – Bernama






