Dua calon Parti Damai Sabah gagal menyerah borang pencalonan PRN ke-17 kerana lewat tiba di pusat penamaan calon di Semporna
KOTA KINABALU: Dua calon daripada Parti Damai Sabah (SPP) gagal menyerahkan borang pencalonan untuk Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 kerana lewat tiba di pusat penamaan.
Abdul Hata Abdul Hala gagal menyerah dokumen untuk bertanding di DUN Sulabayan selepas tiba di Dewan Arena Masyarakat Semporna selepas pukul 10 pagi.
Ahmad Daud Awang turut gagal menyerah borang pencalonan untuk kerusi DUN Bugaya di pusat sama.
Proses penamaan calon tamat tepat pada pukul 10 pagi, menandakan bermulanya kempen pilihan raya selama 14 hari.
Kempen akan berterusan sehingga pukul 11.59 malam pada 28 November seperti ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya.
Sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri dipertandingkan dalam pilihan raya kali ini.
Pengundian awal dijadualkan pada 25 November manakala hari mengundi ditetapkan pada 29 November. – Bernama






