Dua lelaki didakwa bunuh Saraswathy Chan Chee Keong, 24, di Seri Kembangan dengan mayat ditemukan tangan terikat dan tidak berpakaian
PETALING JAYA: Dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang jurujual wanita.
Mangsa berusia 24 tahun ditemukan mayatnya tidak berpakaian dengan keadaan tangan terikat berhampiran bulatan Blue Water Estate, Seri Kembangan pada akhir Oktober lepas.
Pegawai teknologi maklumat K.Kaarthiek, 26, dan pemandu lori A.Hariprasanth, 23, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Saraswathy Chan Chee Keong di Jalan Orkid berhampiran Bulatan Blue Water Estate, Seri Kembangan.
Kejadian berlaku antara 6.18 petang 24 Oktober 2025 hingga 2.17 pagi pada 25 Oktober 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Hukuman yang diperuntukkan ialah mati atau penjara minimum 30 tahun maksimum 40 tahun, dan sebatan tidak melebihi 12 kali jika tidak dihukum gantung.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lim Leong Hui.
Kaarthiek diwakili peguam Sivahnanthan Ragava manakala Hariprasanth diwakili peguam Kailash Sharma serta Datin Raj Preet Kaur.
Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 16 Januari ini untuk laporan kimia dan bedah siasat. – Bernama






