Majlis Tanah Negara tekankan usaha mantap kawal selia tanah lebih inklusif dan responsif terhadap keperluan semasa.
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) ke-82 hari ini menekankan usaha memantapkan aspek kawal selia tanah.
Beliau menyatakan langkah itu penting bagi memastikan pengurusan tanah lebih inklusif, melindungi kepentingan rakyat serta responsif terhadap keperluan semasa.
Anwar menyeru kerajaan Persekutuan dan negeri terus memperkukuh kerjasama khususnya dalam mempercepat proses kelulusan urusan tanah bagi tujuan pembangunan.
Beliau menegaskan projek pembangunan perlu dilaksanakan segera demi kebajikan rakyat.
Bagaimanapun, proses mempercepat kelulusan itu mesti dilaksana tanpa menjejaskan prosedur sedia ada.
Anwar menekankan pentingnya menghormati sepenuhnya bidang kuasa kerajaan negeri dalam urusan tanah.
“Mesyuarat turut bersetuju dan berpegang teguh kepada komitmen mengekalkan 50% keluasan tanah negara sebagai kawasan berhutan,” katanya dalam hantaran di Facebook rasmi.
Komitmen itu selaras dengan aspirasi antarabangsa dan hala tuju Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030.
Beliau juga berkata Kerajaan MADANI akan terus berikhtiar mengangkat agenda pembangunan seimbang antara keperluan manusia dan kelestarian alam.
Prinsip kemampanan menjadi teras utama konsep MADANI dalam pengurusan tanah.
MTN yang dipengerusikan Perdana Menteri merupakan platform tertinggi menyelaras perancangan serta pengurusan tanah negara antara kerajaan Persekutuan dan negeri.
Platform ini memastikan tanah dimanfaatkan secara optimum serta seimbang antara tuntutan ekonomi, keperluan sosial dan kelestarian alam sekitar. – Bernama






