31 remaja bawah umur ditahan bekerja guna kad pengenalan orang lain di Johor.
JOHOR BAHRU: Seramai 31 remaja bawah umur ditahan kerana bekerja menggunakan kad pengenalan orang lain di sebuah kilang kotak di Taman Teknologi Johor, Senai.
Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Putrajaya, Mohammad Khairu Farhan Md Saad berkata kesemua remaja berkenaan terdiri daripada 16 lelaki dan 15 perempuan.
“Kesemua remaja yang ditahan ini berusia di bawah 18 tahun dan paling muda adalah 14 tahun,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata siasatan mendapati mereka menggunakan kad pengenalan termasuk milik ahli keluarga untuk mendapatkan pekerjaan.
Sebahagian remaja berkenaan didapati berhenti sekolah seawal usia 12 tahun manakala yang lain masih bersekolah dengan alasan bekerja semasa cuti persekolahan.
Mereka merupakan antara 117 individu termasuk 86 warga asing yang ditahan dalam Ops Kotak hasil kerjasama JPN dan Jabatan Imigresen Malaysia negeri.
Operasi itu melibatkan 56 anggota penguat kuasa JPN dari Putrajaya, Kuala Lumpur, Johor, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka serta 30 penguat kuasa JIM.
Kesemua 86 warga asing terdiri daripada 67 wanita dan 19 lelaki dari Indonesia dan Filipina turut menggunakan kad pengenalan orang lain dan kad pengenalan palsu.
Mohammad Khairu Farhan berkata kad pengenalan palsu dipercayai diperoleh daripada ejen di negara masing-masing.
Mereka yang ditahan dibawa ke Pejabat JPN di Kompleks Kementerian Dalam Negeri untuk tindakan lanjut.
Kes akan disiasat mengikut Peraturan 25(1) (E) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007). – Bernama






