Malaysia sedang meneliti kerjasama dengan India dan Iran dalam telekomunikasi dan keselamatan dalam talian, termasuk MoU baharu dengan Iran.
BAKU: Malaysia sedang meneliti peluang kerjasama dengan India dan Iran dalam bidang telekomunikasi, khususnya berkaitan keselamatan dalam talian.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya dari kedua-dua negara di luar Persidangan Pembangunan Telekomunikasi Sedunia 2025.
“Ada beberapa peluang yang saya nampak boleh kita cuba untuk usahakan bagi kedua-dua negara,” katanya kepada pemberita.
Beliau menekankan kerjasama khususnya dalam pengalaman menangani masalah scam dan keselamatan dalam talian.
Fahmi berkata hubungan baik Malaysia dengan India dan Iran akan dimanfaatkan untuk pembangunan sektor telekomunikasi.
Satu memorandum persefahaman dengan Iran dalam bidang telekomunikasi sedang dirangka dan dijangka dimuktamadkan tidak lama lagi.
“Kita ada satu MoU dengan India pada waktu ini, dan saya percaya agak menarik untuk kita cuba faham keadaan yang unik yang dihadapi oleh negara seperti Iran,” ujarnya.
Beliau juga menyampaikan hasrat Malaysia mempertahankan kerusi Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa dalam pemilihan November 2026.
“Pengalaman Malaysia dalam Majlis ITU telah memberikan kita peluang untuk bersuara dalam perkara-perkara tertentu melibatkan isu standard dan telekomunikasi,” katanya.
Fahmi turut menyebut pengalaman Malaysia menguruskan capaian Internet di kawasan luar bandar melalui program JENDELA. – Bernama
BACA:
MCMC, PDRM rangka gerak kerja banteras kecurian menara telekomunikasi






