ATM gerakkan 4,428 anggota dan 7,880 aset untuk Operasi Murni bantu NADMA hadapi Monsun Timur Laut bermula November hingga Mac 2026
KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempersiapkan 4,428 anggota dan 7,880 aset bagi menghadapi Monsun Timur Laut yang bermula 13 November lalu.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kesiapsiagaan itu merupakan tindakan proaktif ATM menerusi Operasi Murni untuk membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara.
Daripada jumlah aset tersebut, 506 merupakan mobiliti darat, 7,355 mobiliti perairan dan 19 mobiliti udara.
Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dilantik sebagai peneraju operasi bagi misi ini.
Sebanyak 15 Appointed Military Commander turut dilantik untuk memastikan operasi berjalan lancar di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Mohamed Khaled meninjau kesiapsiagaan 17 aset Operasi Murni di Padang Kawad Kem Kementah sebelum diatur gerak ke kawasan terjejas.
Antara aset yang disedia termasuk trak TATRA tujuh tan, AMDAC, trak tiga tan dan satu tan, water trailer, ambulans medan, bot serta khemah modular.
MetMalaysia meramalkan hujan berterusan akibat Monsun Timur Laut dari awal November hingga penghujung Mac 2026.
Negeri tumpuan termasuk Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sabah yang berisiko tinggi mengalami banjir.
Mohamed Khaled menegaskan ATM sentiasa memastikan kesiapsiagaan ketiga-tiga cabang perkhidmatan berada pada tahap optimum.
“Usaha ini mencerminkan komitmen ATM sebagai benteng pertahanan negara dan organisasi yang mendukung kesejahteraan rakyat,” katanya.
NADMA telah membekalkan jambatan modular Bailey kepada ATM untuk digerakkan mengikut keperluan situasi.
ATM akan menumpukan usaha di kawasan yang mencatat peningkatan dan berisiko tinggi berlakunya banjir berdasarkan pemantauan masa nyata.
Operasi Murni dilaksanakan selaras pendekatan Whole of Government, Whole of Society dan aspirasi Kertas Putih Pertahanan.
Konsep Pertahanan Menyeluruh diterapkan bagi melindungi rakyat semasa kecemasan dan bencana. – Bernama







