Saturday, November 22, 2025
26.7 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Pulau Pinang pulih loji penyahgaraman untuk jamin bekalan air

Loji Penyahgaraman Pulau Aman di Pulau Pinang dipulih dengan kos RM3.81 juta, mampu hasil 0.24 MLD air untuk 200+ penduduk tahun depan

BATU KAWAN: Pemulihan Projek Penyahgaraman Pulau Aman (PADP) dijangka dapat memperkukuh jaminan bekalan air jangka panjang bagi Pulau Pinang.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata projek rintis berkos RM3.81 juta itu merupakan usaha Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) meneroka kaedah alternatif selain rawatan air mentah dari sungai.

“Projek ini bermula pada 2015 menggunakan air laut sebagai sumber air mentah melalui proses penyahgaraman, namun air terawat yang dihasilkan ketika itu tidak memenuhi piawaian Kementerian Kesihatan (KKM), menyebabkan loji terbengkalai beberapa tahun,” katanya selepas meninjau projek di Loji Penyahgaraman Pulau Aman.

Chow yang juga Pengerusi PBAPP berkata kajian semula dan cadangan perunding memberi keyakinan bahawa loji ini boleh dipertingkatkan.

Beliau memaklumkan pemulihan kini sedang dijalankan dan dijangka beroperasi semula tahun depan.

Apabila siap sepenuhnya, loji itu mampu menghasilkan 0.24 juta liter sehari (MLD) air terawat untuk 94 akaun pengguna di Pulau Aman.

Meskipun jumlah itu kecil, ia mencukupi untuk menampung keperluan lebih 200 penduduk termasuk pelancong.

Chow memaklumkan ketika ini Pulau Aman menerima bekalan air dari Loji Rawatan Air Sungai Dua, yang disalurkan melalui dua paip dasar laut ke tangki utama.

Beliau menjelaskan projek itu berupaya mengurangkan atau menghentikan penyaluran air melalui paip dasar laut ke pulau tersebut.

“Pulau Pinang tidak boleh bergantung kepada satu sumber air mentah sahaja memandangkan negeri itu mempunyai sumber yang terhad,” katanya.

Inisiatif meneroka teknologi seperti PADP dilihat sebagai antara penyelesaian kepada cabaran bekalan air jangka panjang negeri selepas 2030.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Datuk K. Pathmanathan memaklumkan projek yang bermula 16 Jun lepas kini mencapai kemajuan 26.61%.

Beliau berkata projek dijangka siap pada 15 Jun 2026.

Pathmanathan memberi jaminan kadar yang dibayar pengguna di Pulau Aman kekal sama seperti tarif domestik iaitu RM0.86 bagi setiap meter padu (m³).

Kadar ini dikekalkan walaupun kos pengoperasian loji penyahgaraman adalah tinggi. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories