Sunday, November 23, 2025
24.4 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Rakyat Malaysia terkandas di Hat Yai diminta bersedia untuk pemindahan

Konsulat Malaysia di Songkhla minta rakyat Malaysia terkandas banjir di Hat Yai bersedia di lobi hotel untuk operasi pemindahan ke lokasi selamat

SONGKHLA: Semua rakyat Malaysia yang terkandas di hotel-hotel di Hat Yai akibat banjir diminta bersedia di lobi penginapan masing-masing bagi memudahkan operasi pemindahan sementara.

Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla dalam kenyataan berkata proses koordinasi dengan pihak berkuasa tempatan telah bermula dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Pejabat Konsulat memohon kerjasama semua rakyat Malaysia yang terlibat bagi memastikan urusan pemindahan berjalan lancar.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada pegawai bertugas di talian +6681-9901930.

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata pihaknya sedang berusaha sedaya upaya memindahkan rakyat Malaysia ke lokasi lebih selamat.

“Hujan masih turun di Hat Yai, namun paras air banjir sudah menurun daripada paras dada semalam kepada paras lutut hari ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Ahmad Fahmi menyatakan bantuan makanan dan proses pemindahan sedang dijalankan bersama pihak berkuasa tempatan.

Beliau berkata satu pasukan khas telah ditubuhkan di Pejabat Konsulat untuk mengumpulkan maklumat semua mangsa warga Malaysia serta lokasi penginapan mereka.

Ahmad Fahmi bersama Presiden Persatuan Hotel Hatyai-Songkhla Dr Sitthipong Sitthiprapha telah melawat dapur penyediaan makanan berasaskan sayuran untuk diedarkan kepada mangsa banjir.

Sitthipong berkata sebanyak 2,000 set makanan panas berasaskan sayuran telah dihantar menggunakan trak kepada mangsa yang terkandas di beberapa hotel.

“Walaupun air mula surut, hujan masih turun. Tidak lebat, tetapi tetap mencabar untuk memindahkan semua mangsa keluar dari bandar Hat Yai menggunakan trak,” jelasnya.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Malaysia semalam, kira-kira 4,000 rakyat Malaysia di Hat Yai dan kawasan berhampiran terkesan akibat banjir.

Semua mangsa banjir dilaporkan selamat setakat ini. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories