PM Anwar Ibrahim disambut rasmi dengan 19 das tembakan meriam di Istana Negara Kenya, diterima Presiden William Ruto sebelum perbincangan dua hala
NAIROBI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi sambutan rasmi dengan 19 das tembakan meriam di Istana Negara Kenya, iaitu kediaman rasmi Presiden Kenya William Samoei Ruto.
Ketibaan Perdana Menteri disambut oleh Ruto dan diperkenalkan kepada Ketua Komander Tentera Kenya Leftenan Jeneral David Ketter, Mejar Jeneral (Tentera Laut) Paul Owuor Otieno, dan Mejar Jeneral (Tentera Udara) Bernand Waliaula.
Upacara dimulakan dengan lagu kebangsaan Malaysia Negaraku dimainkan, diikuti dengan lagu kebangsaan Kenya.
Hadir sama ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Zaliha Mustafa.
Susulan upacara itu, Perdana Menteri menandatangani buku tetamu Istana Negara, sebelum kedua-dua pemimpin meneruskan pertemuan dua hala.
Kenya, yang terletak di Afrika Timur, bersempadan dengan Sudan Selatan di barat laut, Ethiopia di utara, Somalia di timur, Lautan Hindi di tenggara, Tanzania di barat daya, serta Tasik Victoria dan Uganda di bahagian barat.
Pada 2024, Kenya merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di Afrika dengan jumlah perdagangan mencecah RM5.7 bilion, meningkat 1.2 peratus berbanding RM5.51 bilion pada tahun sebelumnya.
Anwar dijadual berlepas dari Nairobi, Kenya ke Malaysia hari ini, menamatkan lawatan rasmi tiga negara ke bumi Afrika. – Bernama







