Dua balai polis di Kedah terpaksa ditutup sementara akibat banjir, dengan beberapa jalan raya juga ditutup kepada kenderaan
ALOR SETAR: Hujan berterusan sejak beberapa hari lepas mengakibatkan dua balai polis di Kedah terjejas akibat banjir.
Balai Polis Changlun di daerah Kubang Pasu terpaksa ditutup sementara waktu berikutan banjir di daerah itu.
Semua urusan dan laporan polis boleh dibuat di Balai Polis Bukit Kayu Hitam atau mana-mana balai polis berdekatan.
Orang ramai dinasihatkan untuk mengutamakan keselamatan dan mematuhi arahan pihak berkuasa.
Sementara itu, Jalan Kodiang ke Padang Sera ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan bermula dari simpang jalan Kampung Meribut hingga Padang Sera.
Semua kenderaan diarahkan untuk menggunakan laluan lencongan Kampung Meribut-Kampung Pering-Kampung Kubang Menerong-Lebuhraya Napoh.
Jalan Napoh ke Wang Perah juga ditutup kepada kenderaan ringan dari Kilometer 0.5 hingga KM1.5 berhampiran Kampung Jeragan, Kampung Kubang Betong dan Kampung Bukit.
Paras air telah mencecah 600 milimeter setakat 4 petang semalam.
Laluan alternatif yang disarankan kepada pengguna ialah Jalan Kampung Belukar-Kampung Padang Panjang-Kampung Perik.
Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah telah melakukan tinjauan di Balai Polis Padang Sanai, Padang Terap yang terjejas akibat banjir.
Tinjauan itu adalah untuk melihat keadaan balai serta mendapatkan gambaran sebenar situasi dan tahap kerosakan yang dialami. – Bernama







