the sun malaysia ipaper logo 150x150
Thursday, November 27, 2025
25.6 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Sarawak tubuh kumpulan kajian fakulti perubatan atasi kekurangan doktor

Sarawak tubuh kumpulan kajian kebolehlaksanaan fakulti perubatan di UTS bagi tangani kekurangan 1,817 doktor dan 2,300 jururawat di negeri itu

KUCHING: Kerajaan Sarawak menubuhkan kumpulan kajian kebolehlaksanaan bagi menilai keperluan menubuhkan fakulti perubatan di institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee berkata perkara itu diamanahkan kepada Universiti Teknologi Sarawak (UTS).

Ini selaras dengan keprihatinan kerajaan negeri terhadap isu kekurangan doktor dan jururawat yang semakin mendesak di seluruh Sarawak.

“Timbalan Premier (Datuk Amar Dr Sim Kui Hian) telah berkali-kali menegaskan bahawa kekurangan doktor di Sarawak amat kritikal,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan di Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Beliau berkata Sarawak kekurangan 1,817 pegawai perubatan, 246 pakar dan 2,300 jururawat di peringkat negeri.

“Saya mohon Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan segera menangani masalah ini,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Safiee Ahmad (GPS-Daro).

Kumpulan kajian kebolehlaksanaan akan menjalankan kajian selama enam bulan untuk menilai secara menyeluruh keperluan dan kesiapsiagaan penubuhan fakulti berkenaan.

Kajian itu merangkumi lima aspek utama iaitu menilai permintaan program perubatan peringkat sarjana muda serta kemampuan institusi dari segi tenaga manusia dan infrastruktur.

Selain itu, ia akan memastikan pematuhan terhadap keperluan Kementerian Pendidikan Tinggi, Majlis Perubatan Malaysia serta Agensi Kelayakan Malaysia.

Kajian juga akan menilai keupayaan kewangan termasuk kos modal dan kos operasi serta mengenal pasti risiko serta kaedah mitigasi.

“Akhirnya, kajian ini akan mencadangkan pelan hala tuju pelaksanaan, termasuk aspek penerbitan, pembinaan dan pengambilan pelajar,” katanya. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories