Ribut Tropika Senyar dijangka bawa hujan lebat, angin kencang 50 km/j ke Selangor, Perak dan Pahang bermula tengah malam ini hingga Sabtu
PETALING JAYA: Penduduk di Selangor, Perak dan sebahagian Pahang dinasihatkan berwaspada dengan Ribut Tropika Senyar yang dijangka melanda bermula tengah malam ini.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata ribut tropika itu dikesan memasuki perairan Selat Melaka sejak 3.30 petang tadi.
Ribut dijangka menyebabkan hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora di kawasan terjejas.
“Ribut Tropika Senyar dikesan berada pada Latitud 3.6 darjah Utara dan Longitud 100 darjah Timur,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau menjangkakan ribut akan bergerak ke arah timur dengan kelajuan sembilan kilometer sejam.
Ribut itu boleh mencapai kelajuan angin maksimum sehingga 50 kilometer sejam.
Kawasan lain yang akan terkesan termasuk Kedah, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Negeri Sembilan, Melaka dan Johor juga dijangka mengalami kesan fenomena cuaca ini.
Semenanjung Malaysia dijangka menerima taburan hujan 200 hingga 300 milimeter dalam tempoh 24 jam akan datang.
Julat hujan ini lebih rendah berbanding Aceh, Indonesia yang merekodkan 600 milimeter hujan.
“Ribut yang akan datang ke negara kita bukan pada kadar intensiti terkuat kerana sudah sedikit melemah,” jelas Mohd Hisham.
Malaysia pernah dilanda ribut tropika dua kali sebelum ini iaitu Ribut Tropika Greg dan Ribut Tropika Vamei.
Kejadian ribut tropika di Selat Melaka ini merupakan kali pertama dan mendapat perhatian penyelidik seluruh dunia.
Ribut Tropika Senyar terjadi akibat taufan kuat yang terbentuk di Laut China Selatan.
Sistem tekanan rendah di selatan Thailand juga menyumbang kepada pembentukan ribut ini.
MetMalaysia telah mengeluarkan nasihat berkaitan ribut sejak Ahad lepas.
Agensi itu akan mengemas kini maklumat setiap tiga jam untuk makluman orang ramai.
Orang ramai dinasihatkan peka dengan amaran cuaca melalui laman sesawang dan aplikasi myCuaca.
Mereka juga boleh menghubungi talian hotline 1-300-22-1638 untuk maklumat lanjut. – Bernama







