Empat individu termasuk aktivis Rafidah Ibrahim dibebaskan dengan jaminan polis selepas ditahan dipercayai cuba ganggu majlis pecah tanah
KUALA LUMPUR: Empat individu termasuk aktivis Rafidah Ibrahim telah dibebaskan dengan jaminan polis.
Mereka ditahan kerana dipercayai cuba mencetuskan kekecohan semasa Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata kesemua individu itu ditahan mengikut Seksyen 105 Kanun Prosedur Jenayah.
“Siasatan terhadap keempat-empat individu berkenaan masing sedang dijalankan dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan kemudian,” katanya.
Beliau menegaskan polis sentiasa mengutamakan keselamatan dan ketenteraman awam.
“Sekiranya ada risikan atau ada apa-apa maklumat yang kami (polis) terima, (tentang sesuatu) akan memberikan kesan negatif terhadap ketenteraman dan keselamatan awam, polis akan ambil tindakan,” katanya.
Empat individu berumur antara 39 hingga 47 tahun itu ditahan pagi semalam.
Mengulas kes serangan terhadap wartawan sukan Haresh Deol, Fadil berkata pihaknya sedang mengesan seorang lagi individu terlibat.
“Walaupun suspek telah dituduh siasatan masih lagi diteruskan kerana dia dituduh di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan secara bersama,” katanya.
Beliau enggan mengulas sama ada suspek lain telah dikenal pasti.
Pada 25 Nov lepas, Haresh memaklumkan beliau telah diserang oleh dua lelaki ketika menuju ke keretanya. – Bernama







