DAP Sabah memutuskan untuk tidak ambil sebarang jawatan dalam kerajaan negeri, termasuk ADUN lantikan, selepas tewas dalam PRN Sabah.
KUALA LUMPUR: DAP Sabah memutuskan untuk tidak mengambil sebarang jawatan dalam kerajaan negeri Sabah.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata keputusan itu termasuk menolak jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri secara lantikan.
Beliau berkata keputusan itu dibentangkan dalam mesyuarat tergempar Jawatankuasa Tertinggi Pusat parti malam tadi.
Loke berkata pemimpin DAP Sabah akan terus berkhidmat secara aktif kepada rakyat di negeri itu.
Mengulas mengenai Pilihan Raya Negeri Sabah, beliau berkata keputusan pilihan raya kali ini mencerminkan krisis keyakinan yang serius terhadap DAP dan Pakatan Harapan.
“Kami telah menerima isyarat yang jelas dan tidak meragukan daripada para pengundi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata para pemimpin dan anggota amat peka bahawa terdapat ketidakpuasan yang meluas dalam kalangan rakyat.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata DAP akan mengumpulkan semua maklum balas yang diterima.
Parti itu akan berusaha bersama-sama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mempercepat agenda reformasi dalam tempoh enam bulan akan datang.
Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Sabah ke-17 menyaksikan DAP Sabah gagal meraih sebarang kerusi.
Parti itu menandingi lapan kerusi termasuk enam DUN yang disandangnya sebelum ini.
Kerusi-kerusi itu ialah Luyang, Kapayan, Likas, Tanjong Papat, Elopura dan Sri Tanjong.
Dua kerusi baharu yang ditandingi ialah Tanjung Aru dan Kemabong.







