Bekas menteri MITI, Tengku Zafrul Abdul Aziz, dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk tempoh dua tahun
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkuat kuasa hari ini.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, pelantikan itu adalah bagi tempoh dua tahun.
“Selain menerajui MIDA, Tengku Zafrul juga akan diberikan beberapa tanggungjawab tambahan yang sedang diperinci dan diumumkan kemudian oleh Perdana Menteri,” kata kenyataan itu.
Tengku Zafrul, 52, baru menamatkan tugasnya di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada 2 Disember 2025.
Beliau berhenti susulan tamat tempoh maksimum enam tahun atau penggal kedua sebagai senator.
Beliau dilantik mengemudi MITI pada 3 Disember 2022 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebelum itu, beliau pernah memegang jawatan Menteri Kewangan dari 9 Mac 2020 sehingga peletakan jawatan pada 9 November 2022.
Antara perkara menarik sepanjang tempoh perkhidmatannya ialah beliau berkesempatan berkhidmat di bawah tiga Perdana Menteri. – Bernama







