AADK tangkap 1,078 individu dalam operasi khas seluruh negara, dengan daerah Kinta catat tangkapan tertinggi sebanyak 164 orang.
IPOH: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menahan 1,078 individu dalam Ops Cegah Khas yang dilaksanakan di seluruh negara selama tiga hari bermula Isnin lepas.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK Zainudin Abdullah berkata kawasan yang mencatat jumlah tangkapan tertinggi di Perak ialah daerah Kinta, iaitu sebanyak 164 orang.
Daerah Larut, Matang dan Selama pula membabitkan 55 orang, manakala di daerah Hulu Perak sebanyak 48 orang.
Dalam operasi di sekitar daerah Kinta, AADK menyerbu beberapa tempat penagihan di sekitar kawasan Chemor, Tambun, Bercham dan Menglembu.
Seorang wanita berusia 58 tahun yang juga klien AADK dan masih menjalani pengawasan di bawah AADK Daerah Kinta turut ditahan.
Suaminya berumur 65 tahun mempunyai rekod tangkapan polis.
“Pasangan suami isteri itu tidak bekerja dan sumber kewangan untuk membeli dadah adalah daripada anak-anak mereka,” katanya pada sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di Meru Raya.
Hasil risikan turut mendapati port penagihan di sekitar kawasan perkuburan, tempat pelupusan sampah dan semak kembali dijadikan sarang penagihan.
Tempat penagihan itu aktif antara 6 pagi hingga 10 pagi dan kemudian aktif semula antara 5 petang hingga 7 malam.
Anggaran penagih pada satu-satu masa adalah antara 20 hingga 30 orang.
AADK akan mempertingkatkan operasi penguatkuasaan selaras dengan pindaan Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983. – Bernama







