Kastam Kelantan merampas rokok seludup bernilai RM315,708 dan menahan 10 individu dalam operasi penguatkuasaan di 16 lokasi berasingan.
KOTA BHARU: Jabatan Kastam Kelantan merampas pelbagai jenis rokok seludup bernilai keseluruhan RM315,708 dalam satu operasi penguatkuasaan.
Operasi yang dinamakan Operasi Loging itu dijalankan dari 10 hingga 13 November lepas di 16 lokasi berasingan di negeri ini.
Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, nilai rampasan barang itu adalah RM73,062.36 manakala anggaran duti dan cukai yang terlepas ialah RM242,646.39.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda antara 10 hingga 20 kali ganda nilai barang atau antara RM100,000 hingga RM500,000.
Hukuman penjara sehingga lima tahun juga boleh dikenakan bagi kesalahan pertama.
Wan Jamal berkata, sindiket menyembunyikan rokok berkenaan di belakang kaunter, ruang simpanan tersembunyi serta rumah terbiar sebelum diedarkan.
Beliau menyeru orang ramai membantu memerangi penyeludupan kerana kegiatan itu menyebabkan ketirisan hasil negara.
Maklumat boleh disalurkan melalui Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat.
Identiti pemberi maklumat dijamin dirahsiakan.







