Mangsa banjir di Perak dan Selangor berkurangan pagi ini, manakala jumlah di Perlis dan Pahang kekal tidak berubah.
KUALA LUMPUR: Situasi banjir di Perak dan Selangor menunjukkan perkembangan positif dengan jumlah mangsa mencatatkan penurunan.
Di Perak, mangsa banjir berkurangan kepada 1,455 orang daripada 430 keluarga yang berlindung di 11 pusat pemindahan sementara (PPS).
Jumlah itu menurun berbanding 1,539 orang daripada 470 keluarga yang dilaporkan malam tadi.
Daerah Hilir Perak masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 736 orang diikuti Bagan Datuk (421) dan Manjung (298).
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan hujan pada sebelah pagi di beberapa daerah termasuk Larut, Matang dan Selama.
Ribut pula diramalkan berlaku pada petang dan malam ini di kawasan seperti Kerian, Manjung, Perak Tengah, Hilir Perak dan Muallim.
Jumlah mangsa banjir di Selangor turut menunjukkan penurunan kepada 306 orang daripada 104 keluarga pada pagi ini.
Angka itu berkurangan daripada 429 orang daripada 134 keluarga yang dilaporkan malam tadi.
Lima PPS masih beroperasi bagi menempatkan mangsa di tiga daerah terjejas iaitu Kuala Selangor, Hulu Langat dan Sabak Bernam.
Sementara itu, jumlah mangsa di Perlis yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Felcra Lubuk Sireh di Padang Besar masih kekal 15 orang.
Di Pahang, tujuh sekeluarga masih berlindung di sebuah PPS di Kuantan tanpa sebarang perubahan angka.
Menerusi laman sesawang publicinfobanjir, paras air di semua sungai utama di negeri itu menunjukkan bacaan di bawah paras bahaya pagi ini.







