Operasi SAR hari ketiga cari remaja lelaki lemas di Kajang
KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi seorang remaja lelaki yang dikhuatiri lemas di Taman Prima Saujana, Kajang, memasuki hari ketiga.
Pencarian telah diperluaskan sehingga sejauh 10 kilometer dari lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata operasi itu melibatkan dua zon pencarian, bermula dari lokasi kejadian menuju ke Jalan Mendaling hingga ke Jalan Reko.
“Operasi diteruskan bagi mengesan seorang lagi mangsa yang masih belum ditemukan,“ katanya.
Sebanyak 65 pegawai dan anggota daripada PDRM, JBPM, APM dan Rescue Bencana Malaysia terlibat dalam operasi itu.
Pasukan SAR turut dibantu dua ekor anjing pengesan K9 JBPM, Team SKUBA JBPM, Unit Dron APM serta dua bot whally yang menyusuri Sungai Langat ke arah Dengkil.
Dalam kejadian Khamis lepas, dua beradik lelaki berusia 12 dan 14 tahun dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras.
Mereka terjatuh ketika cuba mengambil bola dalam longkang besar di Lorong 1/3A, Taman Prima Saujana.
Mangsa berusia 12 tahun ditemukan di Sungai Merbau, Kampung Sungai Kantan kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.
Beliau disahkan meninggal dunia di Hospital Kajang pada 10 malam hari yang sama.







