Pusat data perlu tanggung kos infrastruktur sendiri, kata timbalan menteri, jamin tiada kenaikan tarif air domestik akibat keperluan sektor itu
KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan kadar tarif air domestik tidak akan dinaikkan semata-mata untuk menampung keperluan pusat data.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kos penambahbaikan infrastruktur grid elektrik dan air bagi kemasukan pusat data akan ditanggung oleh pihak pemaju.
Pendekatan ‘user pays’ diperkenalkan bagi mengelakkan kos tersebut dibebankan kepada pengguna lain, khususnya pengguna domestik.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Datuk Rosni Sohar di Dewan Negara hari ini.
Kemasukan pusat data dan peningkatan unjuran permintaan elektrik di Semenanjung memerlukan penambahbaikan grid bagi tempoh Regulatory Period 4 (RP4) dari 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2027.
Ini susulan permintaan komited melebihi 7,000 megawatt yang ditandatangani melalui Perjanjian Bekalan Elektrik antara syarikat pusat data dengan Tenaga Nasional Berhad.
Kerajaan turut mewujudkan kategori tarif khusus Voltan Ultra Tinggi bagi pusat data yang disambungkan pada voltan tinggi dan voltan amat tinggi.
Penggunaan air bagi sistem penyejukan dan operasi pelayan pusat data turut meningkat hasil pembangunan pusat data berskala besar.
Kerajaan sedang melaksanakan strategi pengurusan bekalan air mampan supaya keperluan sektor ini tidak menjejaskan pengguna domestik serta industri lain.
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara telah mengeluarkan Garis Panduan Bekalan Air bagi Pembangunan Pusat Data berkuat kuasa 1 September 2025.
Garis panduan itu memperincikan syarat teknikal yang perlu dipatuhi, meliputi proses dari perancangan hingga fasa operasi.
Operator juga digalakkan menggunakan teknologi hijau seperti sistem penyejukan efisien dan kitar semula air dalam pengoperasian pusat data.
Menjawab soalan tambahan Senator Dr Jufitri Joha, Akmal Nasrullah berkata kawal selia pengambilan air tanah adalah bidang kuasa kerajaan negeri.
Beliau berkata sebarang bantahan mengenai projek pusat data di Port Dickson perlu dirujuk kepada pihak berkenaan. – Bernama







