the sun malaysia ipaper logo 150x150
Friday, December 12, 2025
23.7 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

JAS Kelantan pantau bahan penyejuk dan sisa elektronik dalam operasi bersepadu

JAS Kelantan perketat pengurusan bahan penyejuk dan pantau sisa elektronik serta pelepasan asap kenderaan dalam OPS Gerak Kenderaan Motor

KOTA BHARU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan memberi penekanan terhadap pengurusan bahan penyaman udara atau bahan penyejuk sebagai komponen penting dalam usaha mengawal pelepasan gas yang menjejaskan lapisan ozon.

Pengarah JAS Kelantan Wan Aminordin Wan Kamaruddin berkata sepanjang minggu operasi bermula 7 hingga 11 Dis, JAS turut menjalankan pemeriksaan terhadap bengkel berkaitan pengurusan bahan penyejuk yang tertakluk kepada peraturan pelepasan gas ozon.

Beliau berkata pemeriksaan itu penting bagi memastikan pengendalian bahan penyejuk dilakukan mengikut standard ditetapkan, sekali gus mengelak pelepasan tidak terkawal yang boleh menjejaskan kualiti udara.

“Setakat ini tiada pelanggaran ketara, namun arahan di lapangan diberikan bagi penambahbaikan aspek tertentu seperti melabel,“ katanya pada Operasi Bersepadu OPS Gerak Kenderaan Motor Sempena Hari Ozon Sedunia 2025 di sini.

Mengulas operasi malam itu, Wan Aminordin berkata ia adalah hari terakhir OPS Gerak membabitkan kira-kira 50 anggota daripada empat agensi dengan tumpuan kepada pelepasan asap kenderaan dan bunyi bising motosikal.

“Sepanjang minggu ini, OPS Gerak Bersepadu memberi fokus kepada pelepasan asap kenderaan dan bunyi bising motosikal,“ katanya.

Selain operasi kenderaan, JAS turut menjalankan persampelan petrol dan diesel di beberapa stesen minyak terpilih bagi menguji kandungan sulfur dan bahan lain mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Kandungan Petrol dan Diesel) 2007.

Wan Aminordin berkata pemeriksaan turut dilakukan terhadap fleet operator yang mengendalikan lebih 10 kenderaan bagi memastikan mereka mempunyai peralatan mencukupi untuk menguji pelepasan asap di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996.

Beliau berkata tahap pematuhan memang baik dan tiada pelanggaran ketara.

Sementara itu, Wan Aminordin berkata JAS turut bekerjasama dengan Pasukan Gerakan Am dalam memantau kilang yang tidak mematuhi syarat pengurusan bahan buangan elektronik.

“Di Kelantan, empat syarikat berlesen dikenal pasti untuk mengumpul dan melakukan peleraian sisa elektronik secara separa manakala bahan berharga dihantar keluar,“ katanya.

Kebanyakan pusat kitar semula mematuhi keperluan lesen dan tidak dibenarkan menyimpan sisa elektronik tanpa kebenaran dengan tindakan boleh diambil di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories