Anwar umum rombakan kabinet: Johari Abdul Ghani ke MITI, Akmal Nasrullah ke Ekonomi, Noraini Ahmad ke Perladangan dan Komoditi.
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilantik sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) hari ini.
Beliau bertukar portfolio daripada jawatan Menteri Perladangan dan Komoditi sebelum ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan rombakan Jemaah Menteri itu pada Isnin.
Timbalan Menteri MITI baharu ialah Sim Tze Tzin yang merupakan pelantikan baharu.
Akmal Nasrullah Mohd Nasir pula diumumkan sebagai Menteri Ekonomi baharu.
Beliau sebelum ini memegang jawatan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.
Timbalan Menteri Ekonomi baharu pula ialah Datuk Mohd Shahar Abdullah.
Datuk Seri Noraini Ahmad dilantik sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi.
Beliau sebelum ini merupakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi baharu ialah Datuk Seri Huang Tiong Sii.
Anwar turut mengumumkan pelantikan Liew Chin Tong sebagai Timbalan Menteri Kewangan.
Liew sebelum ini memegang jawatan Timbalan Menteri MITI.
“Upacara angkat sumpah yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim akan berlangsung jam 10 pagi esok di Istana Negara,” kata Anwar.
Mesyuarat Jemaah Menteri akan diteruskan pada jam 2.30 petang esok. – Bernama








