Akmal Nasrullah Mohd Nasir kini Menteri Ekonomi, menggantikan Rafizi Ramli. Beliau bekas Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen Johor Bahru.
KUALA LUMPUR: Akmal Nasrullah Mohd Nasir memulakan fasa baharu dalam kerjaya kabinetnya dengan pelantikan sebagai Menteri Ekonomi.
Beliau yang berusia 39 tahun sebelum ini memegang jawatan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.
Pelantikannya adalah bagi menggantikan Datuk Seri Rafizi Ramli yang meletak jawatan pada 17 Jun lalu.
Akmal Nasrullah pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan dari Disember 2022 hingga Disember 2023.
Ahli Parlimen Johor Bahru dari PKR itu kini merupakan Ahli Majlis Pimpinan Pusat parti tersebut bagi penggal 2025 hingga 2028.
Beliau telah mengekalkan kerusi Parlimen Johor Bahru selama dua penggal berturut-turut sejak PRU-14.
Sebelum menceburi politik, beliau berkhidmat sebagai pegawai penyelidik di Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor.
Pada masa itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang peranan sebagai Penasihat Ekonomi Selangor.
Akmal Nasrullah juga pernah menyertai INVOKE sebagai Ketua Pegawai Penyelidik.
Beliau merupakan pengasas bersama serta pengarah di National Oversight and Whistleblowers Centre (NOW) bersama Rafizi.
NOW ialah sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang fokus kepada pemantauan dan memperkasa pemberi maklumat.
Bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar ini pernah menuntut di Universiti Wisconsin–Madison, Amerika Syarikat.
Beliau memperoleh ijazah berganda dalam bidang sains aktuari dan ekonomi di sana. – Bernama








