Terengganu FC rehatkan ketua jurulatih Badrul Afzan Razali serta-merta, lantik Tengku Hazman Raja Hassan sebagai ketua jurulatih interim.
KUALA TERENGGANU: Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) merehatkan ketua jurulatih skuad Penyu, Badrul Afzan Razali (gambar), berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan itu dibuat susulan prestasi kurang memberangsangkan pasukan dalam saingan Liga Malaysia musim ini.
TFCSB memaklumkan perkembangan itu melalui kenyataan media di laman Facebook rasmi kelab.
Kenyataan itu menyatakan keputusan dibuat selepas menilai semua aspek prestasi dan perkembangan pasukan dalam Piala FA dan Liga Super.
Penolong ketua jurulatih, Tengku Hazman Raja Hassan, dilantik sebagai ketua jurulatih interim sehingga pengganti diumumkan.
“Jawatankuasa Teknikal serta Ahli Lembaga Pengarah TFCSB telah memutuskan untuk merehatkan ketua jurulatih Badrul Afzan Razali,” menurut kenyataan itu.
TFCSB merakamkan penghargaan kepada Badrul Afzan atas komitmen dan sumbangan beliau sepanjang membimbing pasukan.
Badrul Afzan yang berusia 49 tahun dilantik sebagai ketua jurulatih pada 15 Jun 2025 bagi tempoh setahun.
Beliau sebelum ini dilantik sebagai pemangku ketua jurulatih pada 1 Oktober 2024 selepas Tomislav Steinbruckner melepaskan jawatan.








