Bas ekspres bertembung dengan lori treler di Jambatan Endau, Rompin, namun kesemua 30 penumpang dan kedua-dua pemandu selamat tanpa kecederaan.
ROMPIN: Sebanyak 30 penumpang selamat selepas bas ekspres yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori treler di Jalan Kuantan-Johor Bahru.
Kejadian berlaku di Kilometer 159, di atas Jambatan Endau, pada malam tadi.
Ketua Polis Daerah Rompin Supt Sharif Shai Sharif Mondoi berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira pukul 11.20 malam.
Lori itu dalam perjalanan dari Kuantan ke Johor Bahru manakala bas datang dari arah bertentangan.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, bas berkenaan dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan lori treler yang bergerak lurus,” katanya.
Sharif Shai berkata kedua-dua pemandu serta kesemua 30 penumpang bas tidak mengalami sebarang kecederaan.
Penumpang berkenaan berusia antara tujuh hingga 50 tahun.
“Kesemua penumpang bas telah selamat dihantar pulang kira-kira satu jam selepas kejadian menggunakan bas lain,” katanya.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.








