Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan bercuti serta-merta bagi memberi laluan kepada siasatan SPRM berhubung dakwaan pengubahan wang haram.
KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan (gambar) bercuti serta-merta sehingga pihak berkuasa selesai menjalankan siasatan berhubung dakwaan tertentu yang telah dilaporkan dan membabitkan beliau.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata langkah itu dibuat untuk memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.
“Langkah pentadbiran ini diambil bagi memastikan proses siasatan berjalan lancar tanpa sebarang konflik kepentingan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard mendakwa seorang pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia disyaki terbabit dalam isu pengubahan wang haram.
Susulan itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki mengesahkan satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Pada Selasa lepas, pegawai SPRM telah hadir ke Kementerian Pertahanan dan tumpuan terarah kepada projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab Tentera Darat.
Siasatan SPRM mendapati dari 2023 hingga 2025, perolehan Tentera Darat yang melebihi RM500,000 adalah sebanyak 158 projek manakala bagi perolehan di bawah RM500,000 pula membabitkan 4,521 projek.
Semakan awal mendapati ada beberapa syarikat yang kerap memperoleh projek dengan nilai tinggi dan perkara itu agak meragukan.
Setakat 24 Dis lepas, SPRM telah merakam keterangan tiga individu bagi membantu siasatan berhubung perolehan projek Tentera Darat.








