Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain dilantik memangku jawatan Panglima Angkatan Tentera Malaysia berkuat kuasa serta-merta
KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain akan memangku tugas sebagai Panglima Angkatan Tentera (ATM) berkuat kuasa serta-merta.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata lantikan itu berikutan persaraan wajib Panglima ATM Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaafar.
“Kementerian Pertahanan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat, kepimpinan dan jasa Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar sepanjang menerajui ATM serta mendoakan kelancaran urusan persaraan beliau,” katanya.
Zulhelmy dilantik sebagai Panglima Tentera Laut pada 23 September lepas, menggantikan Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob yang bersara.
Mohd Nizam dilantik sebagai Panglima ATM ke-23 pada 31 Januari lepas. Beliau merupakan seorang pegawai Tentera Darat yang dinaikkan pangkat ke Leftenan Jeneral pada 23 Februari tahun lepas.
Beliau pernah menyandang beberapa jawatan penting antaranya Komandan Kolej Pertahanan Nasional dan Pengarah Pengurusan Latihan di Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat.








