the sun malaysia ipaper logo 150x150
Sunday, December 28, 2025
26.1 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Pekan “koboi” Rantau Panjang kembali hidup sempena cuti sekolah

Pekan zon bebas cukai Rantau Panjang kembali meriah dengan peningkatan pengunjung sempena cuti sekolah, beri kelegaan kepada peniaga tempatan

PASIR MAS: Pekan Rantau Panjang kembali menjadi tumpuan ramai sempena cuti persekolahan, menghidupkan semula kawasan zon bebas cukai yang digelar “pekan koboi” itu.

Tinjauan mendapati terdapat peningkatan ketara jumlah pengunjung yang bukan sahaja terdiri daripada penduduk tempatan, malah dari Pulau Pinang, Terengganu dan Pahang.

Deretan kedai serta gerai makanan turut dipenuhi orang ramai yang mengambil peluang membeli-belah bersama keluarga.

Peniaga pakaian Farida Hassan, 36, berkata keadaan itu memberi kelegaan kepada dia serta peniaga setempat.

“Kalau bukan cuti sekolah atau perayaan, nak dapat sekitar RM200 pun sangat sukar dan seakan mustahil,” katanya.

Beliau berkata sejak cuti sekolah bermula minggu lepas, dia mampu meraih hampir RM1,000 sehari.

Untuk menampung kekurangan hasil jualan sebelum ini, Farida melakukan jualan secara dalam talian sebagai alternatif lain.

Peniaga pakaian Mohd Shakirim Hafizi Mohamad Shamsuddin, 28, pula berkata musim cuti persekolahan merupakan antara tempoh paling dinantikannya.

“Pada musim cuti sekolah, jualan meningkat dengan ketara berbanding hari biasa, saya mampu meraih sekitar RM600 sehari,” katanya.

Beliau berharap situasi seperti ini dapat dikekalkan walaupun bukan pada musim cuti panjang.

“Barangan yang ditawarkan di pekan ini kepada pengunjung jauh lebih rendah berbanding di tempat lain,” ujarnya.

Seorang pengunjung, Shazwani Mat Ali, 41, dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang berkata membeli-belah di zon bebas cukai ini seakan menjadi rutin tahunan bagi dia sekeluarga.

“Boleh dikatakan setiap hujung tahun, keluarga kami akan singgah di sini sebelum pulang ke Bukit Mertajam,” katanya.

Beliau berkata mereka membeli keperluan anak-anak termasuk baju, kelengkapan rumah dan makanan memandangkan harga yang ditawarkan lebih murah.

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories