Kes saman fitnah Datuk Seri Dr Mujahid Yusof terhadap PAS diselesaikan di Mahkamah Tinggi dengan kenyataan bersama dan permohonan maaf terbuka.
KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah yang difailkan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof terhadap PAS telah diselesaikan di Mahkamah Tinggi di sini.
Peguam Noorazmir Zakaria, mewakili Mujahid, memaklumkan Hakim Roslan Mat Nor bahawa kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes itu.
Terma penyelesaian tidak didedahkan kepada umum.
“Satu kenyataan bersama telah dikemukakan dan selepas kenyataan tersebut direkodkan oleh mahkamah, pihak kami akan menarik balik kes ini,” kata peguam itu.
Peguam Yusfarizal Yussoff, mewakili PAS, mengesahkan perkara berkenaan.
Hakim Roslan merekodkan persetujuan terhadap kenyataan bersama bagi penyelesaian kes saman itu.
Beliau merakamkan terima kasih kepada kedua-dua pihak kerana bersetuju menyelesaikan pertikaian secara baik di luar mahkamah.
Kenyataan bersama menyatakan kedua-dua pihak bersetuju menamatkan pertikaian secara muktamad memandangkan terdapat isu lebih besar yang perlu diberi perhatian.
Kenyataan itu menyebut Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, tanpa pengakuan liabiliti, dengan terbuka memohon maaf kepada Mujahid atas hantaran berkenaan.
“Mujahid, yang menghargai tindakan murni tersebut, bersetuju untuk menarik balik tindakan guaman sivil itu tanpa kebebasan untuk memfailkan semula,” menurut kenyataan itu.
Kedua-dua pihak juga merakamkan penghargaan kepada mahkamah, pegawai mahkamah dan peguam yang terlibat.
“Kedua-dua pihak berharap penyelesaian ini diterima dan dihormati oleh semua pihak,” menurut kenyataan itu.
Pada 15 Disember 2022, Mujahid memfailkan saman terhadap PAS melalui Takiyuddin.
Beliau mendakwa pada 16 Oktober tahun sama, PAS dengan niat jahat telah menjatuhkan maruah dan memfitnahnya melalui satu kenyataan di Facebook.
PAS dalam pembelaan mendakwa pernyataan tuntutan plaintif adalah cacat kerana gagal menamakan pelaku penerbitan artikel berkenaan.








