the sun malaysia ipaper logo 150x150
Tuesday, December 30, 2025
23.5 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Pemergian Madeline Berma kehilangan besar kepada Sarawak dan Malaysia

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof mengucapkan takziah atas pemergian Prof Datuk Dr Madeline Berma, tokoh akademik dan pemikir ekonomi tersohor.

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menyifatkan pemergian Felo Kanan Institut Masa Depan Malaysia Prof Datuk Dr Madeline Berma sebagai satu kehilangan besar.

Beliau berkata kehilangan itu bukan sahaja kepada dunia akademik, tetapi juga bagi Sarawak dan Malaysia.

Fadillah berkata mendiang merupakan tokoh ilmuwan tersohor dan pemikir ekonomi hebat yang mencurahkan seluruh kehidupan profesionalnya demi pembangunan negara.

“Sumbangan besar beliau terutamanya melalui penyelidikan mendalam dalam bidang pembangunan ekonomi, dasar awam, kemiskinan dan ketidaksamaan sosial telah banyak membantu membentuk pemikiran serta hala tuju dasar negara,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Beliau menambah pandangan dan hasil penyelidikan Madeline sering menjadi rujukan penting dalam kalangan akademik dan pembuat dasar di peringkat nasional.

Fadillah berkata sepanjang perkhidmatan sebagai profesor di Universiti Kebangsaan Malaysia serta kepimpinan di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Madeline telah memperkukuh wacana intelektual negara.

Beliau berkata mendiang turut melahirkan ramai sarjana dan membimbing generasi pembuat dasar dengan ilmu yang berteraskan keadilan sosial dan kemakmuran bersama.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata jasa, ilmu dan legasi pemikiran Madeline akan terus hidup dan sentiasa dikenang.

Beliau turut mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang.

Madeline meninggal dunia pada usia 67 tahun di kediamannya di Bandar Baru Bangi.

Anak saudara mendiang, Basil Cliffton Calvert memaklumkan jasad mendiang akan dibawa pulang ke Kampung Siol Kandis, Kuching untuk urusan pengebumian.

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories