Kerajaan mengingatkan umat Islam supaya berhati-hati dengan tawaran badal haji murah RM1,500 yang berisiko penipuan dan tidak mematuhi syarat sah ibadah haji.
PUTRAJAYA: Umat Islam diingatkan supaya lebih berhati-hati menilai iklan tawaran badal haji serendah RM1,500 kerana ia berisiko tinggi melibatkan penipuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata tawaran sedemikian adalah tidak munasabah dan tidak selari dengan kos sebenar yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.
“Saya menasihatkan umat Islam di negara ini supaya menyemak kesahihan sebarang tawaran badal haji yang diiklankan secara meluas,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata pakej perkhidmatan badal haji yang ditawarkan adalah sukar dilaksanakan secara komersial kerana setiap jemaah haji perlu memiliki visa haji yang sah.
Kebanyakan pakej badal haji pula ditawarkan pada harga yang jauh lebih rendah berbanding kos sebenar yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.
Kerajaan Arab Saudi mewajibkan setiap jemaah luar negara memiliki visa haji yang sah, manakala penduduk tempatan perlu mendapatkan permit khas.
Kos terendah pakej haji untuk penduduk tempatan dianggarkan kira-kira SR10,000 atau RM11,300, yang hanya merangkumi permit dan khemah di Masyair.
Kos ini tidak termasuk kos penginapan, makanan dan pengangkutan.
Pada musim haji 1447H/2026 yang akan datang, kerajaan Arab Saudi akan terus melaksanakan penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat.
“Sekiranya jemaah haji ditangkap menggunakan visa atau permit tidak sah akan berdepan hukuman denda, penjara dan disenarai hitam,” kata Zulkifli.
Kerajaan Malaysia dan Tabung Haji sentiasa memberikan peringatan dalam usaha meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan menyemak kesahihan tawaran.
“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas berlandaskan undang-undang terhadap individu atau syarikat pelancongan yang terlibat dalam penipuan,” tegasnya.
Orang ramai dinasihatkan segera membuat laporan polis sekiranya mengesyaki atau menjadi mangsa penipuan.








