Tinjauan Jepun mendedahkan 10% pelajar sekolah tinggi yang salah guna ubat OTC melakukannya beberapa kali seminggu, dengan kadar keseluruhan 1.4%.
TOKYO: Kira-kira 10% pelajar sekolah tinggi Jepun yang pernah menyalahgunakan ubat belian kaunter (OTC) dalam setahun lalu melaporkan menggunakannya beberapa kali seminggu atau lebih.
Dalam kalangan pelajar yang mempunyai pengalaman penyalahgunaan dadah itu, 4.6% berkata mereka menggunakan dadah hampir setiap hari manakala 6.3% berkata mereka menggunakannya beberapa kali seminggu.
Kadar penyalahgunaan dianggarkan 1.4% dalam kalangan semua pelajar sekolah tinggi, atau kira-kira 1 dalam 70 pelajar.
Angka itu menunjukkan 0.9% bagi pelajar lelaki dan 1.7% bagi pelajar perempuan berdasarkan tinjauan yang dikeluarkan pada Jumaat.
Pasukan penyelidikan Kementerian Kesihatan Jepun menganggarkan kadar itu dengan bertanya sama ada peserta mengambil ubat OTC melebihi jumlah atau kekerapan ditetapkan dalam setahun lalu “untuk berada dalam khayalan atau mengubah keadaan perasaan”.
Kekerapan penyalahgunaan dadah dikira buat pertama kali dalam tinjauan terkini yang dijalankan antara September 2024 dan Februari tahun ini.
Tinjauan itu mendapat 51,000 respons sah di tengah-tengah kebimbangan semakin meningkat berhubung penggunaan berlebihan ubat dalam kalangan golongan muda.
Kementerian kesihatan menjalankan tinjauan nasional setiap tiga tahun terhadap pelajar sekolah tinggi berhubung pengambilan alkohol, merokok dan penyalahgunaan dadah.
Tinjauan 2021 mendapati 1.6% pelajar sekolah tinggi di Jepun menyalahgunakan ubat OTC, bersamaan kira-kira 1 dalam 60 pelajar. – Bernama-Xinhua







