AS gesa Kemboja dan Thailand hentikan permusuhan, tarik balik senjata berat, bersihkan periuk api dan patuhi perjanjian damai sepenuhnya.
KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) terus menggesa Kemboja dan Thailand menamatkan permusuhan dan melaksanakan sepenuhnya Perjanjian Damai Kuala Lumpur.
Gesaan itu termasuk menarik balik senjata berat, menghentikan pemasangan periuk api dan mempercepat usaha pembersihannya.
Timbalan Jurucakap Utama Jabatan Negara AS Thomas “Tommy” Pigott berkata gesaan itu turut merangkumi mekanisme bagi menangani isu-isu sempadan.
“Kami mengalu-alukan pemimpin ASEAN yang berhimpun minggu ini bagi menyokong Kemboja dan Thailand demi menghormati sepenuhnya komitmen mereka dalam menamatkan konflik ini,” katanya.
Menteri-menteri luar dan pegawai ASEAN dijadual berhimpun di Kuala Lumpur pada Isnin bagi mesyuarat khas membincangkan situasi sempadan.
Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN (AMM) itu akan dipengerusikan oleh Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan.








