FIFA didesak gantung jualan tiket Piala Dunia 2026 selepas pendedahan harga tiket untuk penyokong setia mencecah ribuan dolar.
LONDON: FIFA didesak menggantung penjualan tiket Piala Dunia 2026 selepas pendedahan harga yang dianggap melampau terhadap penyokong paling setia.
Persekutuan Bola Sepak Croatia mendedahkan harga tiket termurah untuk perlawanan akhir melalui peruntukan khas adalah USD 4,185 seorang.
Football Supporters Europe (FSE) menyifatkan pendekatan FIFA itu sebagai pengkhianatan besar terhadap tradisi kejohanan.
Menurut FSE, penyokong perlu membayar sekitar €6,900 untuk menghadiri semua perlawanan dari pembukaan hingga final.
Angka itu adalah lima kali ganda lebih mahal berbanding kejohanan terakhir di Qatar.
“Kami menyeru FIFA untuk segera menghentikan penjualan tiket PMA,” menurut kenyataan FSE.
Pertubuhan itu mendesak FIFA mengadakan perundingan dan menyemak semula harga serta pengagihan kategori tiket.
Peruntukan Persatuan Ahli Gabungan Peserta (PMA) merangkumi lapan peratus kapasiti stadium bagi setiap perlawanan.
FSE juga mendakwa harga tiket ditetapkan berdasarkan kriteria kabur seperti tahap tarikan sesuatu perlawanan.
Persatuan Bola Sepak England dijangka mengesahkan butiran harga kepada ahli kelab penyokongnya pada Khamis petang.
Penyokong England dijangka membayar sekurang-kurangnya £198 untuk tiket perlawanan pembukaan menentang Croatia.
Satu undian pemilihan rawak untuk tiket Piala Dunia akan dibuka oleh FIFA pada Khamis.
Semua penyokong boleh memohon secara dalam talian sehingga 13 Januari untuk membeli tiket pada harga tetap.
Selepas tempoh jualan, penyokong akan dimaklumkan jumlah tiket yang berjaya diperoleh dan kad kredit mereka akan dicaj.
Tiket yang dijual pada fasa jualan terdahulu tertakluk kepada harga dinamik berdasarkan permintaan. – Bernama-PA Media/dpa







