KUALA LUMPUR: Peningkatan peruntukan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam Belanjawan 2027 bakal memperkukuh perlindungan sosial dan kesejahteraan kumpulan sasar, termasuk wanita, kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU) serta warga emas.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata peruntukan yang meningkat empat peratus kepada RM4.355 bilion itu akan menyokong pelaksanaan pelbagai inisiatif bantuan, pembangunan ekosistem penjagaan dan pemerkasaan ekonomi bagi membantu kumpulan sasar meningkatkan potensi serta berdikari.
Beliau berkata antara inisiatif utama ialah peningkatan Bantuan Warga Emas kepada RM1.3 bilion untuk hampir 200,000 penerima dan bantuan OKU kepada RM1.5 bilion yang memanfaatkan lebih 300,000 penerima.
“Keutamaan KPWKM adalah memastikan peruntukan yang diumumkan diterjemahkan kepada perkhidmatan dan manfaat yang benar-benar dirasai rakyat,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.
Nancy berkata KPWKM turut memberi tumpuan kepada pemerkasaan ekonomi wanita melalui pendekatan yang menggabungkan kemahiran, bantuan modal atau peralatan, jaringan sokongan dan peluang pasaran bagi membantu mereka menjana pendapatan.
Antara inisiatif akan dilaksanakan ialah Geran Sejahtera MADANI, Program KIRANA yang menyediakan latihan, geran peralatan dan bimbingan pemasaran digital, serta KASIHNITA yang memberi tumpuan kepada pembangunan diri dan pengurusan kewangan wanita, khususnya ibu tunggal.
Dalam aspek kesejahteraan keluarga, Nancy berkata kerajaan meneruskan Program BuAi LPPKN yang menawarkan subsidi rawatan kesuburan hingga RM2,000 bagi setiap kitaran kepada 2,000 pasangan layak, selain usaha advokasi kesuburan dan perkhidmatan kesejahteraan lelaki menyasarkan 42,000 individu.
Sementara itu, Nancy berkata KPWKM merancang menjalankan kajian bagi mengenal pasti faktor peningkatan kes tikaman di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).
Beliau berkata kajian itu masih dalam perancangan dan memerlukan kerjasama kementerian lain, manakala agensi di bawah KPWKM menyediakan perkhidmatan kaunseling serta sokongan kepada mangsa, keluarga dan individu yang melakukan perbuatan berkenaan.
Antara agensi terbabit ialah Lembaga Kaunselor Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), LPPKN dan Yayasan Kebajikan Negara (YKN).
Berhubung usaha memperkukuh keselamatan wanita dan menangani femicide, Nancy berkata KPWKM melalui JKM, Jabatan Pembangunan Wanita dan YKN turut bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan bagi menyediakan bantuan, termasuk tempat perlindungan kepada wanita yang tidak dapat pulang ke rumah.









