Monday, October 27, 2025
30.1 C
Malaysia
spot_img

Presiden Brazil Lula da Silva terima sambutan rasmi di Putrajaya

The Sun Webdesk

Presiden Brazil Lula da Silva terima sambutan rasmi di Putrajaya sebelum mesyuarat dua hala dengan PM Anwar Ibrahim dan sidang kemuncak ASEAN.

PUTRAJAYA: Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva menerima sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra sempena kehadirannya sebagai Tetamu Pengerusi bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.


Ketibaan Lula da Silva bersama isteri Janja Lula da Silva pada pukul 9 pagi disambut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta menteri-menteri Kabinet turut hadir dalam majlis tersebut.


Istiadat sambutan di Dataran Perdana Putra dimulakan dengan persembahan lagu kebangsaan kedua-dua negara oleh Pusat Pancaragam Rejimen Askar Melayu Diraja.


Presiden Brazil kemudian memeriksa Kawalan Kehormatan Utama yang membabitkan empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat dari Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja diketuai Mejar Khairul Azmi Jamingon.


Kedua-dua pemimpin kemudian menaiki kenderaan bersama untuk bergerak ke Kompleks Seri Perdana bagi mengadakan mesyuarat dua hala.


Kedua-dua pemimpin dijangka menilai semula perkembangan hubungan dua hala Malaysia-Brazil dan meneroka peluang baharu bagi memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang.


Bidang kerjasama yang akan dibincangkan termasuk perdagangan dan pelaburan, semikonduktor, sains dan teknologi, tenaga boleh diperbaharui, industri halal, pertanian, kesihatan serta pendidikan.


Mereka juga dijangka membincangkan isu serantau dan global termasuk kerjasama di bawah PBB, BRICS dan ASEAN, COP30 serta Perikatan Global Menentang Kebuluran dan Kemiskinan serta isu Palestin.

Beberapa memorandum persefahaman bakal dimeterai meliputi bidang semikonduktor, sains dan inovasi serta kerjasama antara badan pemikir.


Pertukaran nota mengenai latihan diplomatik dan surat hasrat bagi kerjasama mengenai kolaborasi dalam sumber genetik dan bioteknologi juga akan dilaksanakan.


Pada Ahad, Presiden Brazil akan menghadiri majlis perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.


Beliau juga akan menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20 sebelum menghadiri majlis makan malam gala anjuran Anwar dan isteri pada 27 Oktober.


Lula turut dijadual menghadiri Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN pada 25 dan 26 Oktober. – Bernama

Related

spot_img

Latest

spot_img

Popular Categories

spot_imgspot_img