JPN terima 50 permohonan pindaan status bangsa kepada Baba Nyonya pada kad pengenalan, dengan 11 kelulusan setakat ini.
RAWANG: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah menerima kira-kira 50 permohonan berkaitan pindaan status bangsa kepada Baba Nyonya pada kad pengenalan.
Setakat ini, 11 daripada permohonan tersebut telah diluluskan.
Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Datuk Badrul Hisham Alias berkata setiap permohonan diproses secara teliti bagi memastikan ia disertakan bukti kukuh dan memenuhi syarat ditetapkan sebelum sebarang kelulusan diberikan.
“Permohonan diproses dari semasa ke semasa… bukan hanya Baba Nyonya, masyarakat Siam tempatan juga ada mengemukakan permohonan,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan kad pengenalan (daftar lewat) kepada tujuh beradik di Sungai Buaya di sini hari ini.
Beliau berkata sistem pendaftaran bangsa di JPN bersifat dinamik dan boleh dipinda termasuk status bangsa, nama serta gelaran tertakluk kepada pengemukaan dokumen sokongan yang sah dan kukuh.
Projek perintis yang bermula pada 1 Oktober lepas membolehkan keturunan Baba Nyonya didaftarkan secara rasmi dalam dokumen pengenalan diri berjalan lancar.
Pelaksanaannya telah diperluas ke seluruh negara mulai semalam.
Pihaknya sedang menambah baik pembangunan sistem perkhidmatan hujung ke hujung bagi memudahkan urusan orang ramai.
Buat masa ini, semua permohonan pindaan termasuk berkaitan status bangsa perlu dibuat secara fizikal di pejabat JPN.








