Sidang dewan rakyat tamatkan perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja dengan 150 ahli parlimen, fokus pada dashboard MA63 dan perpaduan.
KUALA LUMPUR: Seramai 150 Ahli Parlimen telah selesai membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata sesi jawapan oleh menteri mengenai perkara yang dibangkitkan dijadualkan bermula dari 4 hingga 10 Februari.
Beliau menambah sidang Dewan Rakyat tidak akan berlangsung pada Isnin dan Selasa depan bagi memberi laluan kepada sambutan Hari Wilayah Persekutuan dan Thaipusam.
Pada sesi terakhir perbahasan, inisiatif Kerajaan MADANI melancarkan Dashboard Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) antara perkara yang dibangkitkan.
Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan) berkata dashboard itu merupakan medium terbaik bagi pemantauan kemajuan pelaksanaan perkara yang dipersetujui.
“Ini akan memberi ruang kepada rakyat untuk mengetahui setiap perkembangan mengenai perjanjian ini secara terbuka sekali gus memastikan ketelusan dan akauntabiliti,” katanya.
Dashboard MA63 yang dilancarkan secara rasmi semalam bertujuan menyediakan akses maklumat sahih kepada orang awam mengenai status 29 tuntutan utama.
Setakat ini, sebanyak 13 daripada 29 perkara utama telah berjaya diselesaikan dengan sembilan daripadanya dilaksanakan di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.
Datuk Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis) menekankan bahawa biarpun hak-hak wilayah perlu dihormati, kepentingan Malaysia sebagai sebuah negara perlu sentiasa menjadi keutamaan.
Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) pula berkata agenda memperjuangkan tuntutan MA63 perlu dibuat dengan berhemah agar tidak menimbulkan ketegangan.
“Setiap pertuturan hendaklah berhati-hati sebagaimana titah nasihat Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim supaya tidak terlihat seperti menghasut sehingga mewujudkan ketegangan,” katanya.








