Timbalan Menteri KPDN dan Perpaduan Negara angkat sumpah sebagai senator penggal kedua di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara.
KUALA LUMPUR: Dua timbalan menteri telah mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara bagi penggal kedua.
Upacara berlangsung di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.
Mereka ialah Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh dan Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy.
Kedua-duanya pertama kali mengangkat sumpah sebagai senator pada 10 Disember 2022.
Awang Bemee mengucapkan tahniah kepada mereka atas pelantikan semula.
Beliau berkata pelantikan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mengikut Perkara 45(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.
Pelantikan berkuat kuasa bermula hari ini hingga 9 Disember 2028, selaras dengan Perkara 45(3) dan 45(3A).
“Selamat menjalankan amanah serta selamat berkhidmat,” katanya. – Bernama







