ISKANDAR PUTERI: Seramai 231 sukarelawan Southern Volunteers berlepas ke Segamat hari ini bagi memulakan misi pasca banjir membantu mangsa banjir yang melanda beberapa daerah di Johor, baru-baru ini.
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata misi pasca banjir ke Segamat selama lima hari berakhir Ahad ini, akan diteruskan ke daerah-daerah lain yang terjejas bencana itu.
Beliau berkata misi bantuan itu digerakkan susulan titah Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mahu pasukan sukarelawan Southern Volunteers membantu mangsa banjir di daerah terjejas banjir ketika ini.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk menjunjung setinggi-tinggi kasih Tunku Mahkota Johor yang sangat prihatin dan menggerakkan anak-anak muda supaya bersama-sama dalam inisiatif yang cukup murni ini.
“Kita harap dengan sedikit bantuan yang kita gemblengkan pada hari ini dapat meringankan beban mangsa-mangsa banjir bukan saja ketika banjir berlaku, tetapi juga semasa pasca banjir dengan kerja-kerja pembersihan,“ katanya kepada pemberita semasa majlis pelepasan Misi Bantuan Banjir Southern Volunteers di Dataran Mahkota, di sini, hari ini.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan) Datuk On Jabbar serta Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor Mohd Hairi Mad Shah.
Dalam pada itu Onn Hafiz turut menzahirkan rasa bersyukur apabila 26 bank telah bersetuju untuk memberikan moratorium kepada mangsa-mangsa banjir di negeri ini.
“Saya mendapat maklumat daripada kerajaan Persekutuan, bahawa 26 bank sudah bersetuju untuk berikan moratorium dan saya mewakili kerajaan negeri mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana telah menjawab soalan tentang moratorium dalam sidang Dewan Rakyat semalam,“ katanya. – Bernama









