Kebakaran di Kampung Sri Aman, Tawau musnahkan 30 rumah atas air, operasi bomba selamatkan 300 rumah lain, tiada kemalangan jiwa
TAWAU: Sebanyak 30 buah rumah atas air separuh kekal musnah dalam kebakaran di Lorong Jade 4, Kampung Sri Aman, Jalan Apas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau Jemishin Ujin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.23 malam.
Pasukan bomba menggerakkan 17 anggota ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari balai.
“Bagi memastikan bekalan air mencukupi sepanjang operasi, pasukan bomba turut menggunakan pam angkut serta sistem relay air,“ katanya.
Operasi pemadaman turut dibantu enam anggota dari BBP Kunak dan Bomba Komuniti Kampung Titingan.
Pemadaman dijalankan menggunakan tiga kaedah termasuk pancutan air dari pili bomba serta sumber air terbuka dari laut.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.
Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah lain.
Mereka berjaya menyelamatkan kira-kira 300 buah rumah sebelum operasi ditamatkan pada 3.10 pagi.
Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – Bernama







