Polis tahan 398 individu dalam Op Noda di 118 premis hiburan, dengan 103 premis beroperasi tanpa lesen sah dan 311 warga asing antara yang ditahan
KUALA LUMPUR: Seramai 398 individu telah ditahan dalam operasi bersepadu ‘Op Noda’ yang dijalankan serentak di seluruh negara.
Operasi itu bermula Jumaat lepas dan berakhir semalam melibatkan 118 premis pusat hiburan.
Daripada jumlah itu, sebanyak 103 premis didapati beroperasi tanpa lesen hiburan yang sah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata mereka yang ditahan terdiri daripada lima pemilik premis, tiga pengurus premis, 150 pekerja, 112 pelanggan dan 128 pelayan pelanggan (GRO) warga asing.
“Daripada jumlah itu, 87 orang adalah rakyat tempatan iaitu 76 lelaki dan 11 wanita, manakala 311 lagi adalah warga asing iaitu 151 lelaki dan 160 wanita,” katanya dalam kenyataan.
Kesemua mereka berumur dalam lingkungan 19 tahun hingga 55 tahun.
Wang tunai dan pelbagai peralatan bagi tujuan hiburan turut dirampas dalam operasi tersebut.
Kesemua yang ditahan telah dibawa ke ibu pejabat polis daerah berdekatan untuk dokumentasi dan siasatan lanjut.
Operasi dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di negeri berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 76 Akta Eksais 1976 dan Seksyen 15(1)(C), Seksyen (6)(1)(C) serta Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.
Siasatan turut membabitkan Peraturan 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Enakmen Hiburan serta Ordinan Hiburan negeri.
Kumar berkata operasi seumpama ini akan terus dipergiat bagi memastikan semua pusat hiburan beroperasi mengikut syarat lesen.
Orang ramai digesa menyalurkan maklumat bagi membantu pihak berkuasa membanteras aktiviti tidak sah. – Bernama






