the sun malaysia ipaper logo 150x150
Friday, December 19, 2025
21.8 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

84 warga asing dihukum penjara, denda guna kad pengenalan palsu

84 warga asing dihukum penjara 7 bulan, denda RM4,000 kerana guna kad pengenalan palsu untuk bekerja di kilang Johor

KULAI: Seramai 84 individu mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan menggunakan kad pengenalan orang lain dan kad pengenalan palsu.

Mereka menggunakan dokumen tersebut sebagai pengenalan diri untuk bekerja di sebuah kilang di Taman Teknologi Johor, Senai pada Isnin lepas.

Majistret R. Salini menjatuhkan hukuman denda RM4,000 setiap seorang ke atas 83 tertuduh atau penjara tujuh bulan.

Seorang lagi dihukum penjara tujuh bulan dari tarikh tangkapan pada 17 November lepas.

Kesemua tertuduh terdiri daripada 66 wanita dan 18 lelaki warga Filipina serta Indonesia termasuk seorang individu yang mendakwa dirinya sebagai warga tempatan.

Mereka berusia lingkungan 18 hingga 53 tahun.

Pertuduhan mereka dibacakan secara berasingan pada prosiding yang bermula dari jam 11 pagi hingga 4.30 petang.

Berdasarkan fakta kes, semakan Jabatan Pendaftaran Negara dalam operasi pemeriksaan mendapati maklumat pada salinan kad pengenalan tidak merujuk kepada tertuduh.

Terdapat cap ibu jari dan nombor kad pengenalan yang tidak wujud atau tidak pernah dikeluarkan oleh agensi tersebut.

Mereka didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).

Kesalahan itu membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Seramai 20 tertuduh diwakili peguam Jihad Syahida Nadia Zakaria manakala Norasykin Md Jabarulla mewakili 30 tertuduh.

Baki tertuduh diwakili peguam Sharmaine Fairuz Mohd Zulkifli daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Kesemua tertuduh memohon hukuman minimum atas pelbagai alasan termasuk ibu tunggal, mempunyai anak kecil, bekerja kilang dan pesalah kali pertama.

Pegawai Pendakwa JPN Zulkarnain Ahmad berhujah penyalahgunaan kad pengenalan boleh menjejaskan keselamatan negara.

Beliau berkata kesalahan itu memberi implikasi terhadap aspek ekonomi serta politik.

“Justeru, kami memohon hukuman berat sebagai pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh tetapi juga kepada masyarakat bagi mengelakkan pengulangan kesalahan sama,” katanya.

Pendakwaan turut dikendalikan oleh lima pegawai pendakwa JPN yang lain. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

Lever Style Announces Seventh Acquisition Since IPO, Continuing Group Expansion in the Global Apparel Supply Chain Sector

HONG KONG SAR - Media OutReach Newswire - 17 December 2025 - Lever Style Corporation (HKEX: 1346, "Lever Style"), has acquired designated assets from Active Apparel Group ("AAG") through an asset purchase agreement.
spot_img

Popular Categories