Sultan Ibrahim titah umat Islam tingkat ilmu agama, waspada ajaran sesat yang merebak melalui media sosial, terutamanya dari luar Johor
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan umat Islam di negara ini sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpengaruh dengan ajaran sesat atau fahaman yang menyimpang daripada ajaran Islam sebenar.
Seri Paduka Baginda bertitah penularan ajaran dan fahaman yang menyimpang kini semakin membimbangkan khususnya melalui platform media sosial.
Menurut hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim, Baginda hari ini berkenan menerima menghadap Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad bersama Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) Nasri Ali.
Pada pertemuan itu, Yahya mempersembahkan kepada Sultan Ibrahim mengenai usaha-usaha JAINJ dalam membanteras ajaran sesat di Johor.
Ini termasuk langkah pemantauan terhadap cubaan menyebarkan ajaran sesat terutamanya mereka dari luar Johor.
Sultan Ibrahim turut bertitah agar umat Islam sentiasa meningkatkan ilmu agama serta memperkukuh kefahaman dan mengamalkan nilai-nilai Islam yang sebenar. – Bernama







