Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sambut baik komitmen Kemboja dan Thailand untuk laksanakan Perjanjian Damai Kuala Lumpur dan pulihkan keamanan di sempadan.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik kesediaan dan komitmen Kemboja serta Thailand untuk meneruskan dialog diplomatik bagi memastikan pelaksanaan penuh Perjanjian Damai Kuala Lumpur.
Beliau turut mengalu-alukan komitmen kedua-dua negara untuk memastikan penarikan senjata dan peralatan berat serta melaksanakan kerja-kerja pembersihan periuk api kemanusiaan di kawasan sempadan dengan segera.
“Saya turut menyambut baik jaminan daripada Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul untuk mengelak sebarang tindakan provokatif,” kata Anwar melalui hantaran Facebook.
Beliau menekankan komitmen kedua pemimpin untuk mengambil tindakan lanjut meningkatkan keyakinan dan kepercayaan bersama ke arah memulihkan hubungan dua hala yang produktif.
Anwar juga menghargai peranan proaktif dan penglibatan konstruktif Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dalam menggalakkan penyelesaian damai terhadap situasi yang sedang berlarutan.
Laporan media antarabangsa pada Isnin menyatakan Ketua Angkatan Tentera Thailand mengumumkan penggantungan semua perjanjian dengan Kemboja susulan insiden letupan periuk api di sempadan.
Empat anggota tentera Thailand dilaporkan cedera selepas periuk api jenis PMN-2 meletup ketika mereka melakukan rondaan di Wilayah Sisaket.
Seorang daripada mangsa mengalami kehilangan kaki kanan akibat letupan tersebut.
Perjanjian Damai Kuala Lumpur telah ditandatangani Anutin dan Hun Manet dengan disaksikan Anwar dan Trump di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada 26 Oktober lepas. – Bernama






