Perdana Menteri umum Bahasa Melayu dan Sejarah diwajibkan untuk SPM di semua sekolah termasuk antarabangsa, agama dan UEC bagi selaraskan sistem pendidikan.
PUTRAJAYA: Semua sekolah di negara ini termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama serta sekolah aliran Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), diwajibkan menawarkan subjek Bahasa Melayu dan Sejarah untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ketetapan baharu itu akan menyelaraskan semua sistem pendidikan negara di bawah kerangka yang sama.
Beliau berkata ia sekali gus menamatkan kekeliruan dan polemik berkaitan kesetaraan laluan akademik ke pendidikan tinggi.
“Keadaan sudah berubah…majoriti besar pelajar aliran UEC dan sekolah antarabangsa mengambil SPM tetapi dalam aturan sekarang, (subjek) Bahasa Melayu dan Sejarah diwajibkan bagi sekolah antarabangsa, sekolah agama rakyat dan semua sekolah aliran Cina atau UEC,” katanya.
Anwar berkata sekolah agama rakyat dan maahad tahfiz yang kian berkembang dengan jumlah pelajar melebihi 400,000 orang, tidak terkecuali daripada ketetapan kerajaan berkenaan.
“Mereka boleh kekalkan manhaj tarbiah dan kitab-kitab masing-masing…kita tidak akan usik. Tetapi sebagai syarat menerima bantuan kerajaan, mereka juga diwajibkan mengambil Bahasa Melayu dan Sejarah,” katanya.
Sambil berkongsi titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mengenai kedudukan bahasa Melayu, Anwar berkata kerajaan juga mahu memastikan bahasa kebangsaan itu terus dimartabatkan sebagai bahasa ilmu dan lingua franca negara.
“Negara telah menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, maka penguasaannya bukan sekadar menguasai, tetapi perlu ditingkatkan…kurikulum di sekolah dan universiti harus diperkasakan seiring tuntutan masa,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menekankan bahawa penguasaan bahasa Inggeris mesti ditingkatkan agar subjek itu tidak diajar secara sambil lewa.
Beliau berkata penguasaan bahasa Inggeris penting dalam transformasi digital, peralihan tenaga, kecerdasan buatan (AI) dan bidang ilmu berkaitan masa depan.
Anwar turut mengarahkan Kementerian Pendidikan supaya menyediakan guru yang mencukupi bagi semua bahasa utama iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris serta bahasa pilihan seperti Mandarin, Tamil dan Arab.
“Jadi pilihan bahasa Cina, bahasa Tamil, bahasa Arab mesti ada di sekolah-sekolah bagi anak-anak yang memilih untuk menguasai bidang-bidang itu,” katanya.
Beliau berharap dasar ini dapat menyelesaikan kontroversi bahasa yang berpanjangan.
“Saya dibesarkan tahun 50-60-an.. perseteruan soal bahasa dan konflik bahasa itu hangat. Tahun 2026 dengan dasar ini, insya-Allah kita tamatkan polemik bahasa,” katanya.








